LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui tidak sabar untuk berdepan Ajax pada aksi Liga Juara-Juara di Arena Johan Cruyff awal pagi esok.
Beliau mengakui Ajax bukanlah pasukan yang boleh dipandang rendah berdasarkan reputasi mereka sebagai sebagai empat pasukan terbaik dua musim lalu.
“Kami belum melakukan analisis terhadap permainan mereka. Mungkin selepas selesai melakukan analisis, kami akan tahu apakah kekuatan dan kelemahan mereka.
“Sebenarnya saya sudah tidak sabar kerana kedua-dua pasukan memiliki sejarah yang cukup hebat dalam saingan bola sepak Eropah. Mereka memiliki barisan pemain muda yang cukup baik,” ujar Klopp.
Bekas jurulatih Borussia Dortmund itu juga menegaskan, beberapa pemain berpengalaman turut menjadi nadi kepada Ajax dalam memastikan kebangkitan pasukan tersebut.
“Semua orang tahu mereka ada mengubah polisi pasukan dengan membawa beberapa pemain berpengalaman seperti Daley Blind dan Dusan Tadic. Apabila digabungkan dengan pemain muda, ia menghasilkan sesuatu yang menarik.
“Dua tahun lalu mereka mengharungi kempen Liga Juara-Juara dengan hebat apabila melangkah ke separuh akhir. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila tewas kepada Tottenham,” kata beliau. – AGENSI