KEMAMAN – Sebuah restoran makanan segera terkenal di daerah ini dikompaun RM1,000 berikutan kegagalan memastikan kebersihan premis tersebut.
Kompaun di bawah Akta 35 (1) (B) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 tersebut dikeluarkan dalam satu serbuan di premis berkenaan pada pukul 4 petang semalam.
Serbuan oleh enam penguat kuasa Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman terbabit dilaksanakan selepas menerima aduan daripada seorang pengadu yang mendakwa menerima roti burger berkulat dan ayam goreng mentah dari restoran makanan segera terbabit.
Pemeriksaan lanjut yang dilakukan pasukan penguat kuasa terbabit mendapati bekas meletak sos tidak diselenggara dengan baik selain kebersihan tandas dan dapur juga kurang memuaskan.
Sistem perangkap minyak turut didapati tidak diselenggara dengan betul dan longkang di belakang premis tersebut kotor.
Sehubungan itu, pengurusan restoran makanan segera berkenaan telah diarahkan untuk meningkatkan kebersihan dalam tempoh 14 hari selaras Seksyen 10 Akta Makanan 1983.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang wanita dikenali sebagai Dhia Fadhila mendakwa menerima roti burger yang sudah berkulat dari sebuah restoran makanan segera terkenal di daerah ini pada kelmarin.
Dia juga mendakwa ayam goreng dibeli di premis makanan segera terbabit pada pukul 6.30 petang itu juga tidak masak sepenuhnya dan berbau seakan-akan stok lama. – KOSMO! ONLINE