JOHOR BAHRU – Seramai 67 anggota polis Johor telah dikenakan tindakan tahan kerja atas pelbagai kesalahan jenayah sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lapan daripada mereka telah dibuang kerja atas kes dadah, membuat salah laku, rasuah dan juga jenayah.
Menurut beliau, sementara itu, tujuh lagi dikenakan tindakan gantung kerja.
“Tidak dinafikan masih ada anggota yang tidak mematuhi disiplin dan kurang berintegriti, sehubungan itu menjadi tanggungjawab semua peringkat dan menyelia sehelai mereka yang tersasar daripada landasan pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis, M. Kumar.
Sementara itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Johor telah membuka sebanyak 205 kertas siasatan atas pelbagai bentuk kesalahan.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut memaklumkan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor telah mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) dengan merekodkan 56.84 peratus kadar penyelesaian kes dan 55.17 peratus kadar pertuduhan kes daripada keseluruhan 4,461 kes.
“Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) pula telah berjaya menyelesaikan sebanyak 1,450 kes, iaitu 50 peratus daripada keseluruhan 2,921 kes disiasat.
“Bagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pula, Polis Johor telah menahan seramai 14,655 suspek atas pelbagai kesalahan dadah, dengan membuat rampasan 4.3 tan dadah bernilai RM14.6 juta.
“JSJN juga telah menyelesaikan sebanyak 83.44 peratus kes, melebihi KPI ditetapkan iaitu 70 peratus kes,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE