KOTA KINABALU – Tujuh anggota tentera dari Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berdepan cemas apabila terpaksa terapung selama lebih tiga jam di laut ekoran bot ronda dinaiki karam di perairan Pulau Nunuyan, Sandakan, semalam.
Bagaimanapun, semua anggota tentera terbabit berjaya diselamatkan anggota dari Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, siasatan mendapati bot ronda Viper 7 Markas ATB 2 dengan kekuatan tujuh anggota tentera bertolak dari Pulau Bakungan Kecil ke Jeti Markas ATB 2 Batu Sapi, Sandakan bagi bertujuan pengisian minyak logistik dan kebajikan anggota.
“Namun ketika bot ronda berkenaan tiba berhampiran laut Pulau Nunuyan sekitar pukuk 11 pagi, bot terbabit telah dipukul ombak besar hingga menyebabkan ia karam.
“Semua mangsa yang karam berjaya diselamatkan oleh sebuah bot ronda PGA Batalion 15 dan Bor PAC 66 sekitar pukul 2.50 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Idris berkata, semua mangsa yang berjaya diselamatkan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan untuk rawatan seterusnya proses dokumentasi. – KOSMO! ONLINE