PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasminya selama dua hari ke Brunei membuahkan hasil yang pasti membawa manfaat bersama kepada kedua-dua buah negara.
Beliau yang mengakhiri lawatannya ke negara tersebut petang tadi berkata, kunjungan itu juga amat besar makna kepada dirinya memandangkan Brunei merupakan negara sahabat yang begitu rapat bagi Malaysia.
“Saya memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar hubungan erat Malaysia dan Brunei akan terus diperkukuhkan, diberkati dan diberi perlindungan yang berpanjangan oleh Allah S.W.T,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Ekonomi berkata, beliau dalam lawatan itu antara lain membangkitkan mengenai Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) yang menjadi wadah utama bagi kedua-dua pemimpin negara membincangkan isu-isu berkepentingan bersama.
Menurutnya, tahun ini Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi ALC ke-24 dan beliau mengalu-alukan keberangkatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta delegasi ke Malaysia bagi meneruskan tradisi musyawarah antara pemimpin kedua-dua buah negara.
Kata Anwar, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah ke atas Sultan Hassanal, negara Brunei serta seluruh rakyatnya di atas Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan kali ke-39 tidak lama lagi.
“Mendoakan negara Brunei Darussalam kekal menikmati kemakmuran, kesejahteraan dan rakyatnya hidup aman sejahtera di bawah naungan Paduka Seri Baginda Tuanku,” katanya.
Selain itu, katanya, beliau dan Sultan Brunei menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Brunei Investment Agency (BIA).
Jelas beliau, MoU itu akan membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk mengembangkan pelaburan di dalam sektor baharu yang menjadi kepentingan bersama antaranya sektor minyak dan gas hiliran, ekonomi digital, pembuatan pintar, pertanian pintar, kecerdasan buatan atau ‘artificial intelligence’ (AI), pelancongan dan industri makanan halal.
“Paduka Seri Baginda Sultan dan saya bangkitkan beberapa perkara antaranya isu persempadanan yang harus dipesatkan, selain menyentuh isu pelaburan, petroleum dan gas, pelancongan dan Ibu Kota Nusantara yang secara tidak langsung akan membuka peluang besar kepada Brunei dan Malaysia menerusi Sabah serta Sarawak.
“Paduka Seri Baginda Sultan dan saya yakin hubungan Malaysia-Brunei akan terus diperat dengan adanya hubungan persahabatan yang cukup istimewa antara kami berdua,” katanya. – KOSMO! ONLINE.