LONDON – Manchester United perlu menyediakan dana sebanyak £100 juta (RM526.44) untuk pergi mendapatkan Harry Kane bagi membantu meningkatkan peluang mereka merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris.
Pengulas sukan terkenal di England, Paul Merson percaya bahawa United memerlukan sentuhan Kane untuk memastikan mereka mampu bersaing dengan Manchester City dan Arsenal pada musim depan.
Hujung minggu lalu menyaksikan United gagal untuk memastikan kedudukan mereka lebih kukuh dalam persaingan merebut kejuaraan musim ini selepas tewas 2-3 menentang Arsenal di Emirates.
Kane ketika ini hanya mempunyai baki kontrak selama 18 bulan bersama Tottenham Hotspur, namun laporan menyebut bahawa pemain itu bersedia untuk mendengar tawaran baharu yang bakal diberikan majikannya.
Perkembangan tersebut diekori rapat oleh United ketika mereka cukup berminat untuk membawa Kane ke Old Trafford biarpun turut menamakan Victor Osimhen dari Napoli sebagai antara alternatif bagi menguatkan jentera serangan.
“Kane adalah penyerang tulen terbaik di dunia ketika ini. Jika saya menguruskan United, saya akan mengeluarkan wang sebanyak £100 juta untuk membawanya ke Old Trafford esok.
“United sanggup mengeluarkan sebanyak £80 juta (RM421.15 juta) untuk mendapatkan Antony, namun pemain itu tidak mampu menyumbang jumlah gol yang banyak walaupun untuk tempoh 10 tahun berbanding apa yang Kane mampu lakukan untuk semusim.
“Kane mampu untuk bermain sehingga usia 37 tahun. Gaya permainannya tidak memerlukan kepantasan kerana dia lebih menggunakan otak. Dia akan sentiasa berada pada kedudukan yang tepat, menerima hantaran dan menyudahkannya.
“Dia memiliki segala-galanya. Jika United berniat untuk memburu kejuaraan dan gelaran, mereka perlukan Kane,” jelasnya. – AGENSI