ROM – Misi mempertahankan kejuaraan Serie A nampak kian sukar buat AC Milan apabila terus menampilkan aksi hambar selepas dibelasah 0-4 ketika menentang Lazio di Stadium Olimpico awal pagi semalam.
Kekalahan itu menyaksikan Milan semakin ketinggalan dengan pendahulu, Napoli yang memiliki kelebihan 12 mata selain diekori rapat Lazio, Inter Milan dan Roma menerusi perbezaan satu mata.
Pada perlawanan itu, Lazio yang turun sebagai tuan rumah bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Sergej Milinkovic-Savic sebelum Mattia Zaccagni, Luis Alberto dan Felipe Anderson melengkapkan kemenangan.
“Kami akan pulang ke Milan dan fokus untuk bekerja lebih keras kerana memang jelas kami tidak bermain mengikut standard sebenar. Banyak perkara yang tidak menjadi dalam pasukan pada ketika ini.
“Saya percaya kami berdepan masalah dari segi mentaliti dan taktikal kerana gol yang dilepaskan itu sepatutnya tidak berlaku. Saya terpaksa buka mulut kerana pemain perlu tahu,” kata Jurulatih Milan, Stefano Pioli.
Untuk rekod, kekalahan semalam menyaksikan Milan gagal untuk mencatat sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir selain melepaskan sembilan gol dalam tiga perlawanan terdahulu.
“Ini merupakan situasi yang cukup getir untuk pasukan kerana kami gagal bermain seperti diharapkan dalam tempoh dua minggu ini,” ujar Pioli. – AGENSI