Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
MESKIPUN berjaya mengharungi tiga perlawanan persahabatan tanpa bolos, pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain masih belum berpuas hati dengan aksi ditampilkan barisan pertahanan.
Malah, menurut Nafuzi, terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki di bahagian tersebut sekiranya KDA FC benar-benar mahu berada di kedudukan terbaik dalam saingan musim ini.
Menurut ketua jurulatih berusia 44 tahun itu, perkara tersebut merupakan antara aspek yang mahu ditekankan.
“Perkembangan pasukan secara keseluruhannya menggembirakan saya. Berdasarkan aspek persefahaman dan cara bermain kita lihat ada peningkatan.
“Walaupun kita tidak bolos dalam tiga perlawanan persahabatan yang dilalui, saya rasa masih terlalu banyak kelemahan dari segi pertahanan. Di situ kita masih perlu perbaiki.
“Apa pun buat masa sekarang saya mahu beri penekanan kepada aspek-aspek lain juga. Selepas itu, kami akan ambil pendekatan satu persatu ke arah itu bagi mempersiapkan pasukan sepenuhnya,” katanya di Alor Setar pada semalam.
Terdahulu pasukan bimbingannya menewaskan Skuad Projek FAM-MSN 6-0 di Stadium Suka Menanti, Alor Setar pada malam kelmarin hasil dua gol sumbangan Lee Tuck diikuti Willian Lira, Amirbek Juraboev, Al-Hafiz Harun serta gol sendiri oleh pemain lawan.
Sebelum ini, KDA FC turut cemerlang menumbangkan Perlis United FC 4-0 dan TRW Kelantan 2-0 dalam perlawanan persahabatan.
Sementara itu, Nafuzi berkata, KDA FC bakal menerima kehadiran seorang penyerang baharu dalam masa terdekat.
Sebelum ini, KDA FC turut memberi ruang kepada Ebenezer Assifuah beraksi dalam perlawanan persahabatan, namun persembahannya gagal menambat hati pihak pengurusan serta barisan kejurulatihan KDA FC.