LONDON – Nasib Daniil Kvyat dalam saingan Formula Satu (F1) menjadi tanda tanya selepas pelumba Jepun, Yuki Tsunoda dikatakan akan mengambil alih tempat pelumba Rusia tersebut musim depan bersama pasukan AlphaTauri.
Penasihat Red Bull, Helmut Marko tidak memberi sebarang kenyataan mengenai senarai pelumba musim depan, namun memberi bayangan bahawa pelumba dari akademi Red Bull berpeluang untuk bersama pasukan AlphaTauri musim 2021 nanti.
“Buat masa ini, kami hanya mempunyai seorang calon pelumba yang akan beraksi dalam perlumbaan F1 musim depan iaitu Yuki Tsunoda.
“Dia akan beraksi bersama pasukan Alpha Tauri, tetapi dia perlu bekerja keras sekiranya ingin menyertai pasukan tersebut musim depan,” katanya.
Tsunoda yang kini beraksi bersama pasukan Formula 2 (F2), akan menguji jentera Formula Satu (F1) bulan depan dan berpotensi untuk beraksi bersama Alpha Tauri pada musim 2021.
Tsunoda, 20, yang berada dalam program rakan kerjasama enjin Alpha Tauri, Honda perlu melakukan ujian memandu sejauh 300 kilometer (km) yang membolehkannya layak mengambil bahagian pada sesi latihan bebas F1 setiap Jumaat.
Tsunoda perlu menamatkan saingan di kedudukan empat teratas saingan Formula Dua (F2) ketika ini untuk menjamin tempat beraksi di F1.
Dia kini menduduki tempat ketiga kedudukan pemandu dalam F2 pada musim pertamanya dan dia juga sudah meraih dua kemenangan.
Sekiranya Tsunoda berjaya beraksi dalam F1 dia akan mengikut jejak langkah pelumba Jepun, Kamui Kobayashi yang menyertai Caterham sebelum ini. – AGENSI