fbpx

Nafi tangisan jadi gimik jual album – bapa Sissy Imann

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UJAR Mohammad Kamil, ini merupakan kali pertama dia melihat Sissy berada pada titik terendah apabila berkurung di dalam bilik sejak Ahad lalu.

PETALING JAYA – Bapa kepada Sissy Imann menepis dakwaan penyanyi itu sengaja menangis teresak-esak selepas ditegur Mas Idayu sebagai pencetus gimik untuk ‘menjual’ album sulung nanti.

Kata Mohammad Kamil Moustaffa, ketika ini anaknya berada pada titik terendah apabila hanya berkurung di dalam bilik, selain tetap nekad menjual album yang dirakamkan di Studio Abbey Road London tersebut pada harga RM20.

“Ini bukan perkara main-main. Hati Sissy sedang rapuh dan saya sebagai bapa tidak pernah nampak dia berada pada titik serendah itu apabila hanya berdiam diri dan berkurung di dalam bilik sejak Ahad lalu.

“Panggilan sepupu yang juga rakan duet dalam Famili Duo, Naim Daniel juga tidak dijawab, apatah lagi rakan seperjuangan lain serta teman media yang cuba mendapatkan maklum balas berhubung insiden baru-baru ini.

“Saya sendiri terkejut dengan keadaan dirinya kerana selama ini saya sangkakan anak saya jiwa kental kerana bukan baru sekarang dia memasuki pertandingan serta berdepan komen juri.

“Kalau anggap Sissy buat ‘stunt’ atau gimik sebelum pelancaran album, memang tak balik modal kos pembikinan jual serendah itu. Semua itu dia putuskan sendiri yang kami sedar apabila tengok Instagram,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditanya mengenai khabar angin penyanyi berusia 28 tahun itu mahu undur diri daripada program berkenaan, katanya setakat ini anaknya tidak membuka mulut mengenai hal tersebut walaupun pemilihan lagu, konsep dan perincian lain untuk persembahan minggu ketujuh dilakukan Naim sendirian.

“Memang Sissy patut sudah mula berlatih, malah Isnin yang seharusnya dia bagi lagu pun dia menyepi sampai produksi tanya. Waktu itu kami beri masa dulu untuk dia bertenang, tak sangka diamnya membawa ke hari ini.

“Mujur Naim faham dan pilih lagu dulu untuk tema idola bagi minggu ketujuh nanti. Saya yakin Sissy tetap akan muncul kerana dia tahu ayahanda dan bonda menaruh harapan tinggi. Sissy tak pernah kecewakan kami.

“Walaupun selepas malam tersebut saya cuma menggunakan Insta Story untuk berhubung serta memintanya melihat perkongsian mengenai harapan dan semangat, hari ini nampak perubahan positif.

“Kami tak tahu apa yang bermain dalam fikirannya memandangkan belum berkesempatan berbual hati ke hati, tetapi berharap tiada pihak sebarkan desas-desus tidak benar,” katanya yang berterima kasih dengan sokongan peminat serta selebriti lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI