ALOR SETAR – Kerajaan akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan bekalan ayam di negara ini tidak terjejas ekoran penularan wabak selesema burung yang melanda dunia ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan meneliti masalah kekurangan bekalan ayam di setiap rantaian untuk memastikan sumber protein itu kekal stabil.
Katanya, wabak tersebut yang dilaporkan melanda utara Eropah dan Amerika Syarikat juga belum dikesan di negara ini.
“Masalah kekurangan ayam ini berlaku sentiasa dan pihak kita sedang melihat dari semasa ke semasa. Memang buat masa sekarang keadaan bekalan ayam ini stabil, masa akan datang kita harap ia terus stabil,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong di sini hari ini.
Mohamad berkata demikian bagi mengulas berhubung ancaman keselamatan makanan serius ekoran bekalan ayam di seluruh negara dijangka menyusut 40 peratus menjelang Jun ini.
Beliau memberitahu, bekalan ayam di seluruh negara ketika ini adalah stabil untuk kegunaan orang ramai. – KOSMO! ONLINE