JASIN – Seorang wanita maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandu terbabas dan merempuh sebatang pokok di Jalan Ayer Keroh – Gapam di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi itu, mangsa, Mazuin Mohammad, 43, yang beralamat di Kesang maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd. Fadzli Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke Melaka Sentral untuk menaiki bas ekspres ke tempat kerjanya di Selangor.
“Mangsa bekerja di sebuah syarikat swasta di Shah Alam dan akan berulang ke sana pada hari Isnin sehingga Khamis dengan menaiki bas ekspres, manakala Jumaat dia hanya bekerja dari rumah.
“Pagi tadi si mati telah keluar rumah pada pukul 4.45 pagi dan memandu untuk ke Melaka Sentral, namun setiba di lokasi MPV dipandunya telah terbabas dan merempuh sebatang pokok,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ujarnya, akibat kemalangan itu mangsa telah tersepit dan dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Katanya, mayat telah dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Kamarudin Mat Amin berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaannya pada pukul 5.54 pagi. – KOSMO! ONLINE