fbpx

Angin Timur, suhu lebih sejuk di Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai mengambil kesempatan merasai sendiri suhu sejuk di View Point Wang Kelian, Padang Besar baru-baru ini.

KANGAR – Fenomena hujan hampir setiap hari pada musim monsun timur laut (MTL) atau angin timur di Perlis sepanjang Januari ini membuatkan suasana di negeri Indera Kayangan ketika ini lebih sejuk lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Perlis, Mohd. Saharudi Saad berkata, kebiasaannya taburan hujan pada MTL akan berkurangan, namun pada kali ini agak berbeza disebabkan faktor tersebut.

“Sehingga Selasa lalu, Perlis mencatatkan taburan hujan sehingga 36 milimeter (mm) selaras dengan ramalan bulanan menunjukkan menerima antara 30mm hingga 50mm hujan pada Januari ini.

“Suhu purata waktu siang yang dicatatkan di negeri ini adalah 32.2 darjah Celsius, manakala purata suhu pada waktu malam adalah 23.8 darjah Celsius. Suhu paling rendah dicatatkan pada bulan ini adalah 23.2 darjah Celsius,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Tambahnya, kelajuan angin maksimum yang dicatatkan pada musim MTL sekarang adalah 11.5 knot sejak November lalu sehingga 17 Januari.

Musim MTL biasanya bermula pada November sehingga Mac dengan angin lazimnya dari arah timur laut dan negeri-negeri utara Semenanjung seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan mengalami taburan hujan yang rendah.

Keadaan cuaca yang men­dung, redup dan hujan serta tiupan ­angin yang agak kencang memberikan rasa nyaman dan suhu sejuk lebih terasa apabila berada di kawasan tinggi seperti Wang Kelian, Padang Besar.

Kata Mohd. Saharudi, Perlis pernah mencatatkan suhu pa­ling panas di negara ini dengan bacaan 40.1 darjah Celsius pada 9 April 1998 di Chuping.

“Rekod suhu paling sejuk sewaktu musim MTL yang pernah dicatatkan ialah pada 14 Februari 1989 di Cameron Highlands, Pahang iaitu 10 darjah Celsius.

“Di Perlis pula, suhu paling sejuk MTL yang direkodkan adalah 16.1 darjah Celsius di Chuping pada 4 Februari 2014,” jelasnya.

Rekod bagi suhu sejuk bermula musim MTL pada tahun ini adalah di Lojing, Kelantan de­ngan catatan 14.1 darjah Celsius pada 1 Januari lalu.

Selain itu, MetMalaysia meramalkan taburan hujan bulanan di negeri tersebut adalah sebanyak 30 hingga 50mm pada Januari, Februari (40mm hingga 60mm), Mac (100mm hingga 150mm), manakala pada April pula antara 140mm hingga 210mm.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI