fbpx

Pelaburan pendidikan harus tumpu pembangunan awal kanak-kanak – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina.

PUTRAJAYA – Pelaburan dalam pendidikan seharusnya bermula daripada peringkat pembangunan awal kanak-kanak dan ia memerlukan peruntukan yang besar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jika aspek itu dapat dilakukan dengan baik maka ia memudahkan usaha mengumpul bukti, analisis dan data bagi mengekang masalah keciciran pelajar.

Beliau yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia berkata, data amaran awal itu juga penting bagi membangun dan melaksanakan intervensi yang disasarkan serta mengurangkan kemungkinan pelajar tercicir.

“Ia juga dapat memastikan isu kemiskinan yang mempunyai kesan kepada langsung pendidikan anak-anak dapat ditangani dengan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan sempena Hari Pendidikan Antarabangsa 2023, hari ini.

Katanya, Malaysia kini sedang menghidupkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi mengumpul idea dan tindakan dengan matlamat meningkatkan pendidikan negara.

Fadhlina berkata, beliau menyedari bahawa kejayaan dalam pembelajaran digital harus disokong oleh guru yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi maklumat (IT).

Menurutnya, pendidikan masa depan memerlukan guru dan pelajar dilengkapi dengan celik digital dan kecekapan untuk menyediakan pendidikan kalis masa hadapan yang lebih baik.

“Dalam hal ini, adalah penting untuk menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan teknologi dan badan antarabangsa untuk meningkatkan kecekapan digital mereka.

“Pendidikan adalah hak asasi manusia yang tidak boleh diketepikan dan pendidikan juga adalah penting untuk pembangunan masyarakat yang mampan, adil dan harmoni,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Fadhlina berkata, Malaysia menggesa komitmen global dalam meningkatkan perpaduan sosial serta membantu mempercepatkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) – Pendidikan 2030.

“Matlamat itu antara lain menggariskan supaya tumpuan lebih banyak diberikan kepada golongan muda, mengutamakan pelaburan dalam komponen teras pendidikan dan untuk memastikan tiada kanak-kanak tertinggal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI