MELBOURNE – Bintang tenis Croatia, Donna Vekic mahu mencipta sejarah melangkah ke pentas separuh akhir Grand Slam Terbuka Australia buat pertama kali sejurus mengatasi pemain ranking 82 dunia, Linda Fruhvirtova kelmarin.
Bagaimanapun, Vekic mengakui tugasnya di pentas suku akhir agak sukar apabila akan menentang pilihan kelima, Aryna Sabalenka hari ini yang mengatasi Belinda Bencic 7-5, 6-2 pada pusingan keempat.
Berdasarkan rekod, Vekic mempunyai kelebihan kerana dalam enam pertemuan sebelum ini, pemain berusia 26 tahun itu telah meraih lima kali kemenangan dan hanya satu kali tewas berdepan Sabalenka.
Kali terakhir mereka bertemu di San Diego pada 2022, di mana Vekic mencatat kemenangan 6-4, 6-7, 6-1 dan satu-satunya kemenangan pemain Belarus itu ke atas Vekic adalah ketika saingan di San Jose pada 2019.
“Sudah tentu dia (Sabalenka) bermain dengan baik di Terbuka Australia ini. Apapun, saya mempunyai rekod pertembungan yang hebat dengan Sabalenka.
“Semua perlawanan kami sangat sukar, jadi saya pasti perlawanan seterusnya akan menjadi pertembungan sengit juga.
“Saya tidak fikir soal mara ke separuh akhir kerana ini adalah pertembungan besar bagi kami berdua. Saya juga yakin dia juga berfikir macam itu,” kata Vekic.
Selain itu, pemain di ranking 31 dunia, Karolina Pliskova turut melangkah ke suku akhir dan akan berdepan Magda Linette dari Poland pada aksi hari ini. – AGENSI