LONDON – Sebut sahaja pasukan Ducati, pastinya pandangan pertama peminat tertumpu kepada teknologi baharu yang bakal digunakan pasukan dari Itali itu pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tahun ini.
Pengurus Besar Ducati, Luigi Dall’Igna yang memperkenalkan jentera Desmosedici GP 2023 secara rasmi awal pagi semalam tidak berselindung dan mendedahkan bahawa mereka memperincikan bahagian aerodinamik baharu pada sesi ujian di Litar Antarbangsa Sepang (SIC), bulan depan.
Seperti diketahui, kehadiran Dall’Igna di Ducati telah menjadi sinonim dengan inovasi teknikal seperti sayap, peranti holeshot, swingarm scoop dan terkini aerodinamik tempat duduk belakang pada jentera Desmosedici.
“Memang benar dalam beberapa tahun kebelakangan ini Ducati telah memperkenalkan banyak inovasi teknikal, sehinggakan peraturan MotoGP itu sendiri juga terpaksa dilakukan perubahan.
“Tetapi, setiap tahun pesaing kami menjadi lebih kuat, jadi kami terpaksa mengambil banyak risiko untuk mencari pelarasan terbaik.
“Mengenai pelarasan baharu menjelang perlumbaan 2023 nanti, kami akan melakukan ujian lanjut terutama inovasi aerodinamik semasa sesi ujian seterusnya di Litar Sepang nanti,” kata Dall’Igna ketika sesi pengenalan pasukan dan jentera.
Pada sesi pengenalan pasukan tersebut juara dunia 2023, Francesco Bagnaia bersetuju menggunakan No. 1 pada jentera Ducati dan kali terakhir nombor itu digunakan pada jentera di MotoGP adalah pada tahun 2012.
Sementara itu, Bagnaia yang tidak sabar untuk kembali bersama pasukannya terutama menguji jentera 2023 menegaskan teruja apabila menggunakan No. 1 pada musim ini.
“Kini saya bersemangat untuk memulakan musim 2023. Matlamat saya adalah untuk melakukan yang terbaik tetapi saya yakin bukan mudah untuk mengekalkan gelaran musim lalu kerana saya menjangkakan saingan yang lebih sukar berbanding tahun lepas.
“Sokongan padu pasukan dan memiliki jentera terbaik ketika ini, saya yakin mampu lakukan sekali lagi. Saya bersedia untuk teruskan cabaran ini bersama-sama pasukan Ducati. – AGENSI