IPOH – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mejar parah dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah apartment di Lumut, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, laporan kejadian itu diterima daripada orang awam pada pukul 5.45 pagi.
Katanya, siasatan mendapati anggota lelaki berusia 38 tahun itu bertugas di Pahang dan sedang dalam tempoh bercuti.
“Anggota itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan di rumah keluarganya di Ayer Tawar, semalam.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan dan keadaannya kini kritikal,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE