PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan Sweden yang membenarkan seorang ahli politik pelampau kanan, Rasmus Paludan membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm baru-baru ini.
Ismail Sabri dalam satu hantaran di Facebook berkata, tindakan itu telah mengguris serta membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
“Sweden sepatutnya sedar mereka tidak hidup bersendirian di dunia ini malah mempunyai negara sahabat berpenduduk Islam.
“Kebebasan bersuara dan hak asasi manusia bukanlah alasan untuk menghalalkan perbuatan ini kerana ia jelas bertentangan dengan nilai mana-mana agama sekalipun,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan Sweden harus memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan bukan hanya menzahirkan rasa simpati melalui media sosial.
“Kebebasan bersuara seharusnya dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab melalui dialog dan toleransi,” ujarnya.
Terdahulu,Paludan, pemimpin parti ‘Stram Kurs’, diberikan kebenaran membakar al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia.
Tindakan Paludan itu dikecam oleh beberapa buah negara Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia. – KOSMO! ONLINE