fbpx

Korbankan kerjaya doktor demi lilin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Nadia menunjukkan produk lilin wangi keluaran syarikatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – “Selagi suami reda dan beri sokongan, saya akan teruskan juga,” demikian ungkapan yang mengubah 360 darjah hidup wanita kelahiran Tapah, Perak itu sekitar tiga tahun lalu.

Bekas doktor veterinar, Dr. Nurul Nadia Rashid yang juga ibu kepada seorang cahaya mata itu tekad meninggalkan kerjaya profesional tersebut kerana yakin perniagaan kecil-kecilan lilin wanginya berjenama Candlenuts mampu pergi jauh dan diterima.

Beliau sebelum ini tidak pernah terfikir bahawa minat mendalamnya dalam penghasilan lilin wangi sebagai hobi satu ketika dahulu mampu menjana pendapatan lumayan.

“Kalau ikutkan, minat buat lilin sendiri itu memang ada sejak 2016 dan mula berdikit-dikit menjualnya dalam platform online.

“Setelah memikirkan masak-masak dan lebih daripada lima tahun bergelar doktor veterinar, saya ambil keputusan untuk noktahkan segala-galanya.

“Atas sokongan dan dorongan suami, kami memulakan perniagaan lilin secara sepenuh masa dari rumah sewa selepas saya dan dia sama-sama sepakat berhenti kerja,” ujarnya.

Pengorbanan berbaloi meninggalkan kerjaya sebagai doktor veterinar, kini Nurul Nadia mampu meluaskan empayar perniagaannya.

Ditebak mengenai keputusan getir yang diambil sebelum bergelar usahawan berjaya, wa­nita berusia 32 tahun ini me­ngakui pernah berada dalam situasi dilema.

Katanya, momen yang paling tidak dapat dilupakan adalah apabila keluarga sendiri langsung tidak menyokong keputusan tersebut dan berulang kali menasihatkannya untuk berfikir secara rasional.

Berkongsi mengenai kejayaan yang dikecapi, Nurul bersyukur meskipun perniagaannya masih baharu, namun berkat usaha gigih tanpa rasa jemu akhirnya membuahkan hasil.

“Daripada perniagaan ini saya dapat berkongsi rezeki dengan menawarkan pekerjaan kepada orang lain.

“Sehingga kini, syarikat Maximus Aroma Sdn. Bhd. mempu­nyai 15 orang staf, lebih 1,500 reseller berdaftar.

“Pada tahun ini, kami me­nyasarkan untuk menambah bilangan reseller tiga kali ganda menjadikannya 5,000 pengedar secara keseluruhan,” katanya.

Lebih membanggakan, Nurul bersyukur syarikatnya kini mempunyai kilang sendiri berkeluasan 6,000 meter persegi dan merupakan kilang lilin wangi bumiputera pertama di Malaysia.

Sebahagian daripada kakitangan Nurul yang menyokong bisnes sehingga kini mampu melahirkan jutawan.

“Jika tiada aral melintang, pada tahun hadapan kami akan buka outlet di pusat beli-belah dan sebagainya.

“Kami juga berhasrat mahu lahirkan lebih ramai usahawan berstatus jutawan dengan hanya menjual lilin wangi yang kini menawarkan lebih daripada 30 jenis bauan menarik,” katanya.

Menutup bicara, Nurul menerusi syarikatnya optimis untuk memecahkan rekod jualan seba­nyak RM7 juta berbanding RM3.3 juta tahun lalu yang disumbang dengan kapasiti pengeluaran kilang baharu miliknya itu.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI