JOHOR BAHRU – Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru menasihati rakyat Malaysia yang mahu mendapatkan perkhidmatan orang gaji agar membuat aduan jika ejen meletakkan harga melebihi RM15,000 bagi seorang pekerja.
Konsul Jenderal KJRI Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto berkata, hal itu kerana pihaknya masih menerima aduan terdapat ejen mengenakan bayaran melebihi had ditetapkan melalui memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara, tahun lalu.
Menurut beliau, MoU yang ditandatangani pada April 2022 itu bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada kedua-dua pihak iaitu pekerja asing dan majikan.
“Sejak MoU dirmeterai, dianggarkan sebanyak 1,000 permohonan dibuat bagi mendapatkan pekerja warga Indonesia dibuat setakat ini. Jumlah itu dijangka terus meningkat berdasarkan permintaan semasa.
“Berdasarkan MoU itu, had maksimum dikenakan ejen bagi mendapatkan pekerja domestik adalah tidak lebih RM15,000, namun kita masih terima aduan ada ejen mengenakan bayaran sehingga RM20,000 dan RM30,000.
“Sehubungan itu, kita menasihati rakyat Malaysia untuk membuat laporan kepada KJRI bagi memastikan perkara itu tidak berlaku kerana ia menjadi satu kesalahan,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra KJRI Johor Bahru bersama Kelab Media Johor, di sini hari ini.
Tambah Sigit, pihaknya juga meminta majikan Malaysia dan Indonesia yang tidak mempunyai permit kerja sah di negara ini agar memanfaatkan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang bermula 27 Januari ini.
“Kita akui, mungkin masih ramai majikan yang menawarkan kerja kepada warga Indonesia secara tidak sah. Ramai juga rakyat Indonesia yang masuk ke Malaysia guna visa pelancong, tetapi tidak pulang selepas tempoh 30 hari tamat.
“Jadi dengan adanya program RTK 2.0 yang dilaksana kerajaan Malaysia, kita menyeru majikan dan rakyat Indonesia untuk membuat permohonan bagi mendapatkan dokumen diperlukan. – KOSMO! ONLINE