PETALING JAYA – Tindakan beberapa pemandu menyalahgunakan lorong kecemasan gara-gara mahu mengelak kesesakan lalu lintas mengundang pelbagai reaksi di media sosial.
Menurut hantaran dimuat naik @aserappp0, memaparkan tujuh buah kereta melakukan kesalahan apabila didakwa bertindak memotong dan memandu di lorong kecemasan.
“Kalau saya sertai mereka, agak-agaknya sampai kampung nanti cermin sisi masih elok tak,” seloroh @aserappp0 menerusi ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata orang ramai meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kenderaan-kenderaan berkenaan.
“Terima kasih kerana memudahkan kerja pihak polis,” komen seorang pengguna media sosial, @dausapiz.
“Pandu laju-laju mahu kemana? Orang lain pun masing-masing mahu balik,” komen @azrul5591.
“YB Anthony Loke, mohon berikan ganjaran kepada sesiapa yang dapat merakam video seperti ini. Pasti ramai yang akan mengikut peraturan,” cadang @mimpi_ngeri7 pula.
Hantaran video yang dikongsi ke platform media sosial itu telah meraih sebanyak 53,100 jumlah tontonan setakat ini. – KOSMO! ONLINE