GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa lebih lima bilion penduduk dunia terdedah kepada risiko tinggi penyakit jantung disebabkan pengambilan lemak trans, lapor laman berita Wion News kelmarin.
WHO menyelar dan meminta negara-negara yang tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu tersebut supaya bertindak membendung lemak toksik itu.
Pakar-pakar berkata, lemak trans boleh meningkatkan kolesterol dalam darah dan risiko penyakit jantung.
Lemak trans adalah sejenis lemak yang mempunyai sifat kimia tertentu. Ia biasa ditemui dalam makanan diproses seperti makanan panggang, makanan ringan dan makanan bergoreng.
Seperti yang dilaporkan, lemak trans bertanggungjawab terhadap sekitar 500,000 kematian pramatang akibat penyakit jantung koronari pada setiap tahun di seluruh dunia.
Pada 2018, WHO merancang penyingkiran lemak trans yang dihasilkan secara industri di seluruh dunia dengan sasaran itu ditetapkan pada 2023. Sejak itu, liputan populasi untuk dasar amalan pemakanan terbaik meningkat hampir enam kali ganda.
Menurut WHO, 43 negara dengan gabungan populasi 2.8 bilion orang telah melaksanakan dasar amalan terbaik untuk menangani lemak trans dalam makanan.
Bagaimanapun, lebih banyak yang perlu dilakukan kerana lebih lima bilion penduduk di seluruh dunia masih berisiko terhadap kesan buruk lemak trans.
Laporan sama juga menyebut bahawa matlamat global untuk penyingkiran lemak trans pada 2023 masih tidak dapat dicapai pada masa ini.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata: “Lemak trans tidak mempunyai manfaat kesihatan dan berisiko kepada manusia.
“Secara ringkasnya, lemak trans ialah bahan kimia toksik yang membunuh dan tidak sepatutnya mempunyai tempat dalam makanan manusia. Sudah tiba masanya untuk menyingkirkannya sama sekali dan untuk semua,” jelas Tedros.
Berdasarkan data WHO, sembilan daripada 16 negara pada masa ini dengan anggaran kadar tertinggi kematian penyakit jantung koronari yang disebabkan oleh pengambilan lemak trans, didapati tidak mempunyai dasar amalan terbaik.
Negara-negara tersebut ialah Australia, Azerbaijan, Bhutan, Ecuador, Mesir, Iran, Nepal, Pakistan dan Korea Selatan. – Agensi