LONDON – Angkasa lepas kini semakin kekurangan ruang dan boleh berakhir dengan peperangan, kata pakar-pakar seperti laporan akhbar Daily Star kelmarin.
Mereka berkata, ruang di antara Bumi dan Bulan akan menjadi sesak, antara lain disebabkan oleh banyak negara menghantar satelit ke orbit tidak termasuk sehingga 100 misi ke Bulan yang dijangka dilancarkan dalam dekad akan datang.
Justeru, angkasa lepas bukan lagi ruang hitam kosong, malah akan menjadi sangat sibuk berbanding sebelum ini.
Manakala persaingan mendapatkan lokasi terbaik yang terhad pula berisiko mencetuskan konflik di Bumi, tambah pakar-pakar sama. Selain syarikat dikenali ramai seperti Blue Origin milik Jeff Bezos atau firma Richard Branson, Virgin Galactic yang melancarkan misi bagi pihak atau negara lain, banyak lagi
firma swasta turut merancang perjalanan ke Bulan.
Pakar-pakar angkasa lepas meramalkan kawasan di antara Bumi dan permukaan Bulan yang dikenali sebagai ruang sislunar, akan menjadi semakin penting secara strategik dan seterusnya lebih sesak.
Ini akan membawa kepada persaingan sengit dalam merebut sumber dan penempatan satelit di samping konflik geopolitik. Lebih buruk, risiko insiden terhempas meningkat berikutan kini terdapat 2,000 satelit aktif mengorbit Bumi dan 3,000 satelit mati yang menjadi sampah angkasa lepas.
Amerika Syarikat (AS) dan China bercita-cita besar dalam program eksplorasi masing-masing dengan rancangan untuk mendaratkan angkasawan di Bulan dan membina habitat serta infrastruktur di orbit.
Pada 2021, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memilih firma milik Elon Musk, SpaceX untuk membina sistem pendaratan manusia melibatkan roket Starshipnya bagi menghantar manusia ke Bulan semasa misi NASA dinamakan Artemis-III.
Sebagai sebahagian daripada kontrak itu, SpaceX akan melakukan misi demonstrasi ke Bulan tanpa angkasawan tidak lama lagi. Selain itu, SpaceX merancang misi penerbangan pelancongan membawa manusia ke orbit Bulan.
Korea Selatan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), India dan Russia turut merancang menghantar misi robotik ke Bulan, manakala syarikat swasta di AS, Jepun serta Israel mempunyai misi serupa.
Dalam pada itu, Kesatuan Eropah mengaku bahawa pihaknya terlibat dalam persaingan sengit dengan Britain susulan kegagalan misi Virgin Orbit menghantar tujuh satelit ke orbit.
AS dan China pula terlibat dalam persaingan berasingan ke angkasa lepas.
“Benar, angkasa lepas itu sangat luas tetapi orbit-orbit spesifik yang menjadi tumpuan diisi dengan cepat.
“AS menuding jari kepada China dan berkata: Kita perlu cepat dalam inisiatif angkasa lepas ke Bulan dan ruang sislunar kerana China cuba pergi ke sana dan menandakan wilayahnya. China pula menyatakan perkara sama mengenai AS,” jelas Laura Forczyk selaku pengarah eksekutif firma perunding angkasa
lepas AS, Astralytical.
Menurutnya, agensi angkasa lepas dan syarikat komersial yang bersaing semuanya mahukan orbit strategik dan trajektori spesifik dengan sesetengah syarikat mahukan orbit yang sama.
Peningkatan mendadak trafik di ruang sislunar berlaku selepas kos pelancaran menjadi semakin murah disebabkan kemajuan teknologi dan semakin banyak syarikat menawarkan perkhidmatan tersebut.
Tambahan pula, pakar-pakar kini sedar bahawa terdapat sumber di angkasa lepas yang dapat membantu misi manusia seperti simpanan ais di Bulan atau logam berharga di dalam asteroid. – Agensi