PETALING JAYA – Susulan penghinaan agama dan tindakan membakar al-Quran oleh seorang pemimpin Sweeden, Rasmus Paludan, penyanyi rap merangkap aktivis kemanusiaan sensasi, Caprice bertegas dengan pendirian menentangs keras dengan menyeru orang ramai untuk memboikot produk keluaran negara berkenaan.
Sebagai permulaan, Caprice atau nama lengkapnya Ariz Ramli, 35, memilih jenama kelengkapan rumah terkenal sebagai tanda protes ke atas negara tersebut yang sehingga kini tidak mengambil sebarang tindakan terhadap tindakan melampau pemimpin perkauman berhaluan kanan Sweden terbabit.
“Saya tidak akan lagi menyokong produk keluaran Sweden bermula dengan Ikea sehingga pihak kerajaan Sweden menangkap dan memenjara Rasmus Paludan,” ujarnya menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram.
Sehubungan itu, Caprice yang kini dikenali dengan gelaran Daddy Cap turut menggesa pengikutnya untuk sama-sama bertindak dengan memboikot produk keluaran Sweden dan menyebarkan mesej tersebut kepada orang ramai.
“Kasi jadi sekurang-kurangnya selama empat bulan. Tolong sebarkan tentang perkara ini,” tegasnya.
Pada masa sama, Caprice juga merancang untuk menyerahkan memorandum kepada pihak kedutaan Sweden di Malaysia sebagai tanda protes dalam masa terdekat.
“Saya akan menyerahkan memorandum kepada pihak kedutaan Sweden, InsyaAllah dalam minggu ini juga,” katanya.
Meninjau ruangan komen, rata-ratanya hasrat yang disuarakan Caprice telah mendapat sokongan daripada pengikutnya apabila bersetuju untuk memboikot produk negara Sweden kerana telah menyentuh kesucian agama Islam.
“Banyak lagi produk negara Sweden yang perlu di boikot. Teruskan perjuangan demi Islam,” ujar seorang pengikutnya.
“Memang kurang ajar. Orang Islam harus bersatu,” gesa seorang lagi pengguna Instagram.
Pada 21 Januari lalu, Paludan yang juga tokoh berhaluan kanan parti Stram Kurs membakar al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden semasa protes Islamofobia selepas mendapat permit daripada pihak kerajaan.
Aksi biadab Paludan yang turut menghina Islam itu menyebabkan Turkiye bertindak balas membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara berkenaan. – KOSMO! ONLINE