SEBERANG PERAI – Kerajaan bersedia menimbang cadangan untuk memberi peruntukan yang lebih kepada Pulau Pinang pada pembentangan semula Bajet 2023 bulan depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pulau Pinang mungkin diberi perhatian jika terbukti negeri itu agak ‘ketinggalan’ dari segi peruntukan meskipun terdapat kekangan dari segi pendapatan dan perbelanjaan negara ketika ini.
“Sama juga macam saya kata di Sabah dan Sarawak. Memang ada kekurangan besar kerana peruntukan untuk Pulau Pinang itu (digunakan) untuk (membangunkan) infrastruktur besar.
“(Sebaliknya), di Sabah dan Sarawak itu, ia (peruntukan) termasuk (untuk membina) prasarana kecil, klinik, hospital, perumahan rakyat, sekolah-sekolah daif…itu harus kita beri tumpuan,” katanya ketika menghadiri Majlis Kenduri Rakyat Bersama Perdana Menteri Malaysia di Galeri Pejuang Cherok Tokun, di sini malam ini.
Terdahulu, beliau ditanya mengenai kemungkinan Pulau Pinang akan menerima peruntukan lebih pada pembentangan semula Bajet 2023 memandangkan negeri ini merupakan antara penyumbang terbesar cukai untuk negara ketika ini. – KOSMO! ONLINE