PETALING JAYA – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam di enam negeri di Semenanjung.
JPS dalam hantarannya di Facebook berkata, di Johor, daerah yang berisiko banjir kilat adalah Pontian, Kota Tinggi, Muar, Pontian, Kluang, dan Tangkak.
“Di Melaka, daerah yang berisiko adalah Melaka Tengah sahaja, manakala di Negeri Sembilan melibatkan kawasan Port Dickson.
“Daerah-daerah di Pahang pula yang berisiko adalah Bera, Maran, dan Temerloh manakala di Perak adalah Perak Tengah,” katanya.
Tambahnya, di Selangor kawasan yang berisiko termasuklah Klang, Petaling, Kuala Langat, dan Kuala Selangor.
Dalam pada itu, JPS turut berkata notis ini dikeluarkan berdasarkan maklumat ramalan hujan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS Malaysia.
“Notis dikeluarkan apabila terdapat risiko kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku.
“Ia juga bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut,” katanya.
Orang ramai diminta patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE