PETALING JAYA – Cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob memaklumkan bahawa perbuatan buli boleh berlaku dalam mana-mana rancangan realiti televisyen.
Perkara tersebut dinyatakan dalam hantaran Instagramnya tentang realiti sebenar yang terjadi dalam industri hiburan.
“Buli boleh terjadi dalam rancangan realiti televisyen bukan hanya dalam sosial media.
“Apabila perkara tersebut terjadi, bukan salah produksi tetapi salah orang yang mengeluarkan kata-kata kesat tanpa fikir maruah peserta dan keluarganya.
“Produksi memang sukar mengawal apa yang berlaku tetapi apa yang keluar dari mulut individu adalah 200 peratus tanggungjawab sendiri,” kata pelantun lagu Asmara Ini itu.
Begitupun, dia berharap individu dimarahi semasa rancangan realiti secara langsung seperti yang terjadi kepada Sissy Iman malam tadi tidak terfikir untuk mengambil langkah singkat sehingga menjejaskan diri sendiri.
“Masa sudah berubah. Jangan pula sampai mangsa hilang arah, punca dan keyakinan diri barulah pembuli rasa bersalah.
“Harap jangan sampai tahap bunuh diri sendiri. Nauzubillah min zalik,” jelasnya.
Fazley berharap ada pihak yang menegur perbuatan membuli tersebut kerana dia juga mempunyai anak perempuan sama seperti keadaan mangsa.
“Semoga ada yang menegur. Saya juga ada anak perempuan,” ujarnya.
Malam tadi, penyanyi Sissy Iman menerima komen pedas daripada juri tetap, Mas Idayu selepas menghabiskan nyanyiannya bersama Naim Danial pada konsert minggu keenam Famili Duo.
Kejadian tersebut juga membuatkan Sissy menyedari tentang kemampuan dirinya sebagai seorang penyanyi selama ini. – KOSMO! ONLINE