fbpx

Armel Aufa derita sindrom DiGeorge

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN Armel Aufa yang dilaporkan dalam keadaan kritikal di ICU Hospital Melaka.

MELAKA – Sepasang suami isteri berdepan dugaan menjaga anak berusia tiga tahun, Armel Aufa Abu Bakar yang menghidap sindrom DiGeorge sejak lahir.

Bapa kanak-kanak itu, Abu Bakar Othman, 39, dan isterinya, Jamilah Aziz, 36, akur dengan takdir apabila anak bongsu mereka kerap keluar masuk ke Hospital Melaka di sini.

Jamilah berkata, dia sekeluarga tidak pernah berputus asa menjaga Armel Aufa yang turut menghidap jantung berlubang, masalah sistem imun, pernafasan, buah pinggang, wajah yang berubah dan sumbing akibat sindrom DiGeorge.

Menurut wanita itu, ketika ini anaknya berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) dan ditidurkan sejak dimasukkan ke Hospital Melaka selepas dijangkiti metapneumovirus pada 6 Januari lalu.

“Keadaannya kritikal, namun saya tetap berharap Armel akan pulih sepenuhnya. Kami tidak pernah putus asa mengharapkan anak saya pulih dan hidup se­perti kanak-kanak seusianya.

“Sejak dilahirkan memang rumah pertamanya ialah Hospital Melaka. Paling lama dia mendapatkan rawatan di hospital adalah selama 321 hari sejak lahir pada tahun 2020.

“Ketika ini keadaannya benar-benar menguji kami. Kami sekeluarga kerap berdoa agar dia cepat sembuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tuah Perdana, Bukit Katil di sini baru-baru ini.

JAMILAH dan suaminya, Abu Bakar menunjukkan barangan keperluan rawatan anak mereka ketika ditemui di rumah pasangan itu di Taman Tuah Perdana, Bukit Katil baru-baru ini.

Jamilah memberitahu, selepas 321 hari dirawat di hospital, Armel Aufa pulih, namun masih memerlukan penjagaan rapi di rumah dengan bekalan pelbagai jenis ubatan dan mesin oksigen.

Keadaan itu memaksa Jamilah berhenti kerja di sebuah syarikat swasta untuk menjaga anaknya dan kadangkala berdepan dengan masalah kewangan kerana pendapatan suaminya sebagai penghantar notis tidak mencukupi.

“Setiap bulan kami memerlukan sebanyak RM2,000 untuk membeli ubat, tiub sedut kahak, lampin pakai buang dan susu.

“Hutang rumah dan kereta juga perlu dilunaskan selain perbelanjaan dua anak lain berusia 7 dan 11 tahun,” katanya.

Jamilah menerima bantuan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, manakala permohonan Majlis Agama Islam Melaka pula ditolak disebabkan suami penjawat awam.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Bank RHB bernombor 10401800405991 atas nama Jamilah Aziz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI