KEHIDUPAN yang memeritkan semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong ahli Persatuan Penggiat Senilukis Kelantan (Pelukis) mengambil satu keputusan drastik.
Mereka terpaksa keluar dari ‘kampung’ sendiri bagi memasarkan hasil seni di sekitar Lembah Klang.
Pengerusi Pelukis, Ramlee Hamzah berkata, seperti individu lain yang bekerja sendiri, pelukis turut terkesan dari aspek kewangan semasa PKP selama lebih dua tahun.
“Antara pihak yang paling terkesan adalah pelukis jalanan yang sukar mendapat tempahan daripada pelanggan kerana tidak boleh berada di tempat awam.
“Demi kelangsungan hidup, pelukis di Kelantan kembali bergerak untuk mencari rezeki seperti biasa setelah PKP berakhir.
“Kami mengadakan kerjasama bersama pelbagai pihak seperti hotel-hotel dan pusat komersial seperti Plaza Shah Alam (Selangor) dan Wangsa Walk (Kuala Lumpur),” katanya.
Dia berkata demikian semasa pameran lukisan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 7 Januari hingga 5 Februari di Plaza Shah Alam baru-baru ini.
Tambahnya, dia berharap peminat seni lukis di Lembah Klang dapat hadir ke Plaza Shah Alam untuk membeli hasil karya pelbagai medium seperti cat minyak dan arang pada harga serendah RM70 hingga RM5,000.
“Pameran ini turut mengetengahkan hasil lukisan pelukis dari seluruh negara yang mana sebahagian besar peserta adalah ahli Pelukis.
“Kita berpandangan, bagi memasarkan karya-karya ini, persatuan perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak.
“Misalnya, dengan mengadakan pameran sebegini di luar Kelantan, selain jualan lukisan secara atas talian,” katanya.
Mengulas mengenai kelembapan pasaran lukisan di Kelantan, Ramlee berkata, fenomena tersebut turut memberi kesan kepada pelukis di negeri-negeri lain.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya turut bekerjasama dengan pelukis di Terengganu dan Lembah Klang untuk memasarkan produk kreatif secara bersama.
Tambah Ramlee lagi, masalah ekonomi negara juga menjadi punca ramai pengumpul hasil seni kurang membeli pada ketika ini.
Bercerita mengenai kemunculan lukisan digital yang dihasilkan dengan aplikasi canggih, dia berkata, sememangnya ia memberi kesan kepada pelukis tradisional sepertinya.
“Lukisan digital dan lukisan tradisional yang kami hasilkan dengan kreativiti tersendiri tidak sama.
“Lukisan digital boleh dicetak berulang kali, namun lukisan yang kami hasilkan dengan kreativiti sendiri hanya satu itu sahaja,” ujarnya.
Dia menambah, pihaknya akan menyumbang 10 peratus hasil jualan lukisan kepada Kelab Kucing Malaysia (KKM).
Ujarnya, ia bagi membolehkan kelab tersebut mengumpul dana membeli makanan dan ubat-ubatan haiwan buat comel tersebut.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai aktiviti Pelukis, menerusi Facebook, Persatuan Penggiat Senilukis Kelantan dan Pakali Art.