fbpx

Hati-hati mengata isu poligami – Nora Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK salah untuk marah atau geram jika bercakap tentang poligami tetapi biarlah berpada-pada pesan Nora Ariffin.

PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Nora Ariffin menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam melontarkan pandangan mengenai isu poligami yang sedang hangat diperkatakan hari ini.

Menurut Nora, 50, orang ramai tidak seharusnya melemparkan kata-kata negatif terhadap isu tersebut kerana dikhuatiri akan berbalik kepada diri sendiri kelak.

“Hati-hati, ketika kita seronok mengata, menghina dan melabel orang lain kerana takut kita juga adalah produk hasil daripada perkahwinan poligami yang diamalkan zaman dahulu lagi.

“Kemungkinan ibu atau kita juga adalah hasil dari perkahwinan daripada isteri kedua, ketiga atau keempat,” katanya.

Tambah pemilik nama penuh Wan Norafizah Wan Ariffin itu, setiap individu tidak akan sanggup menghina ibu bapa sendiri sekiranya mereka juga terlibat dalam perkahwinan poligami.

“Sanggupkah kita menghina ibu, mentua atau nenek moyang kita dengan panggilan penyondol, perampas dan sebagainya?

“Berhati-hati. Beremosi sedikit itu okey. Marah, geram, tidak suka itu adalah fitrah tetapi biarlah berpada-pada,” ujar pelantun lagu Di Persimpangan Dilema berkenaan.

Sekadar info, Nora mengumumkan sudah bernikah dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya, Dr. Rushdi Ramli sekitar akhir tahun 2021 namun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai majlis perkahwinannya kepada umum.

Sebelum itu, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Johan pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan.

Namun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Terdahulu, isu perkahwinan poligami menjadi topik bualan ramai terutama sejak pengarah sensasi, Syamsul Yusof mendedahkan sudah bernikah dengan isteri keduanya, Ira Kazar di Thailand pada 6 Januari lalu.

Rasa simpati orang ramai terhadap isteri pertama yang juga pelakon, Puteri Sarah Liyana membuak-buak dan ramai menyokong tindakannya untuk berpisah dengan suami. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI