fbpx

‘It’s okay’ jadi janda, masyarakat semakin terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WARTAWAN EKSEKUTIF KOSMO! DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

Sehingga kini industri hiburan masih lagi hangat dengan kisah rumah tangga melibatkan pelakon wanita dan suaminya, pengarah terkenal.

Baru-baru ini, Puteri Sarah Liyana, 38, menfailkan penceraian di mahkamah. Meskipun media melaporkan Puteri Sarah hadir dengan senyuman, namun siapa dapat menduga hati wanita yang terpaksa melepaskan rumah tangga yang dibina sejak 2014.

Menurut Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Universiti Putra Malaysia, Dr. Rojanah Kahar, golongan wanita hari ini sudah lebih bersedia untuk memikul gelaran janda atau ibu tunggal berbanding dahulu.

Menurut beliau, tanggapan negatif masyarakat terhadap status itu juga berubah, malah trend kini menunjukkan golongan tersebut turut mendapat soko­ngan sosial yang baik.

“Dahulunya kaum wanita tertekan dan malu dengan masyarakat apabila bergelar janda, namun hari ini situasi itu sudah berubah kerana rakyat negara ini memberi sokongan sosial yang bagus kepada mereka.

“It’s okay hidup sebagai janda jika konflik rumah tangga terlalu tinggi sehingga tiada lagi tolak ansur dan kesefahaman, tidak rela bermadu atau sebagainya, maka lebih baik berpisah,” katanya.
Rojanah memberitahu, setiap wanita perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan fasa-fasa selepas penceraian termasuklah ekonomi dan hak ja­gaan anak-anak.

“Biasanya personaliti wani­ta juga akan berubah selepas bergelar janda atau ibu tunggal, dia bertukar menjadi lebih tegas, cekal dalam membuat keputusan.

“Sewaktu mempunyai suami mungkin personalitinya berbeza, banyak faktor yang membentuk keperibadian seorang isteri ke­rana dalam perkahwinan ini dinamiknya berubah-ubah me­rangkumi isu komunikasi, keputusan kewangan, anak-anak, pendidikan dan keibubapaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarak juga membenarkan penceraian berlaku sebagai jalan terakhir untuk keluar daripada pergelutan dihadapi pasangan dan harus dilakukan secara baik.

“Baca buku The Good Divorce oleh Constance R. Ahrons, ia bukan bermaksud kita mempromosi penceraian, tetapi tentang perpisahan yang dilakukan secara baik, dalam Islam juga begitu.

“Seorang janda perlu menjadi wanita yang cekal dan berdaya tahan untuk mencari ketenangan dan tidak simpan dendam, terutama bagi ibu demi membesarkan anak bersama bekas suami.

“Ada juga yang berjaya mencari potensi diri selepas bercerai, namun segala perkara yang positif ini perlu dilaksanakan dengan adab serta tatasusila sebagai wanita dan tidak bertentangan dengan syarak,” katanya.

Tambahnya, suasana rumah tangga yang tidak harmoni juga memberi kesan kepada tumbesaran anak-anak, malah kebanyakan kes hari ini anak-anak dilihat boleh menerima penceraian menerusi komunikasi ke­ibubapaan yang efektif.

Laporan Statistik Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2020 menunjukkan, jumlah perceraian meningkat 12 peratus iaitu 56,975 kes pada 2019 berban­ding 50,862 kes tahun sebelumnya. Kadar perceraian umum bagi wanita meningkat daripada 7.0 kepada 7.7 perseribu populasi wanita berkahwin pada umur 18 tahun dan ke atas.

Jumlah itu bagaimanapun te­rus menurun sehingga 7.1 peratus pada 2021 daripada 47,272 (2020) kepada 43,934 (2021) disebabkan oleh penutupan Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil dan Jabatan Pendaftaran Negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI