LIPIS – Hasrat seorang lelaki untuk bertemu keluarganya sempena cuti umum tidak kesampaian apabila dia maut selepas kereta dipandunya terbabas di Kilometer 7 Jalan Lipis-Benta di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, kejadian kira-kira pukul 12.08 tengah malam itu berlaku ketika mangsa, Fadhlullah Suhaimi Jaafar,45, dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kechau dekat sini.
“Apabila tiba di tempat kejadian dipercayai kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar pondok bas di tepi kiri jalan raya.
“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azli, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, berdasarkan siasatan mendapati lokasi kejadian adalah jalan berselekoh dan semasa kejadian permukaan jalan basah selepas hujan. – KOSMO! ONLINE