PETALING JAYA – “Kalau orang mahu label saya artis sombong, terpulang kepada mereka. Saya tahu dan kenal diri saya.”
Demikian maklum balas pelakon Aedy Ashraf yang didakwa sebagai artis sombong gara-gara mengelak memberikan kenyataan melibatkan kontroversi video berhibur di kelab malam.
Bagi Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 29, dia kekal dengan pendirian mengunci mulut tanpa perlu memberikan sebarang penjelasan mengenai perkara tersebut.
Menurutnya, diam juga merupakan sebahagian daripada kaedah terbaik buat dirinya dalam mengendalikan masalah yang datang.
“Pilihan saya lebih baik mendiamkan diri kerana saya tidak tahu untuk mengulas atau menjawab apa-apa pertanyaan.
“Bagi saya, mendiamkan diri adalah rawatan terbaik dan saya juga selesa memilih duduk di rumah tanpa perlu mengangkat sebarang panggilan telefon berkaitan hal kontroversi,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditemui ketika sidang media Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya, Aedy menganggap kontroversi adalah perkara biasa yang perlu dihadapi sepanjang terbabit dalam bidang lakonan.
“Dikaitkan dengan isu tidak mengganggu mental saya kerana saya bukan baru berada dalam industri ini.
“Lebih 20 tahun bergiat dalam dunia seni jadi saya sudah mengetahui tindakan yang sepatutnya diambil.
“Kadang-kadang ada perkara yang saya terlepas lakukan sehingga mencetuskan kemarahan orang. Pada akhirnya, saya hanya manusia biasa,” jelasnya.
Pelakon drama Kisah Cinta Itu menambah, dia dilihat sangat tenang berhadapan isu panas diperkatakan ramai disebabkan pernah melalui situasi sama sedekad lalu sehingga akhirnya mengambil pendirian enggan melayan komen netizen.
“Saya pernah melalui gangguan mental sekitar 10 tahun lalu dan sejak kes tersebut, saya tidak lagi membaca komen warga maya.
“Pada waktu itu, saya bergandingan dengan Nelydia Senrose dalam cerita Cinta Tiada Ganti dan netizen tidak suka dengan watak saya.
“Kami masih menjalankan penggambaran walaupun drama tersebut sudah pun ditayangkan dalam televisyen,” ujar pelakon filem Tentang Bulan itu.
Disebabkan isu tersebut, Aedy mengelak melayan kecaman supaya tidak mengganggu kesihatan mentalnya.
“Saya masih perlu melanjutkan penggambaran walaupun mental tidak stabil kerana bangun pagi saya sudah buka Twitter dan Instagram untuk baca komen netizen.
“Jadi, saya berhenti bermain Twitter dan Instagram selama tiga bulan demi kesejahteraan kehidupan dan kerjaya saya,” katanya.
Tahun lalu, nama Aedy Ashraf memanas gara-gara tular sebuah video dikatakan miripnya menari dan berpelukan dengan seorang wanita di kelab malam. – KOSMO! ONLINE