BALING – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia akibat lemas di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Ulu Legong di sini malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa bersama keluarga tiba di pusat rekreasi tersebut pada pukul 8 malam, kelmarin untuk beriadah di situ.
“Pada awalnya mangsa mandi di ruang kolam kanak-kanak sebelum dia dikatakan hilang daripada pandangan keluarga.
“Ahli keluarga terus mencarinya di sekitar kawasan kolam, tetapi gagal menemuinya,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa ditemui oleh seorang pengunjung yang sedang mandi di kolam dewasa kira-kira 15 minit kemudian.
“Mangsa dibawa keluar dari kolam dewasa dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan (CPR).
“Waris seterusnya menghubungi pihak Hospital Daerah Baling sebelum mangsa dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” ujarnya.
Menurutnya, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital sebelum kematiannya disahkan pada pukul 11.20 malam.
“Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada semalam dan punca kematian adalah disebabkan lemas,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Saya ingin menasihatkan masyarakat khususnya ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. – KOSMO! ONLINE