BANGKOK – Dua daripada tiga pegawai polis yang didakwa memberikan ‘perkhidmatan khas’ kepada seorang pelancong wanita dari China telah dipindahkan unit sebagai denda, kata Polis Diraja Thai seperti dilaporkan akhbar The Nation hari ini.
Jurucakap Polis, Mejar Jeneral Atchayon Kraithong berkata, Ketua Polis Negara mengarahkan siasatan terhadap dakwaan seorang pelancong bahawa dia menerima perkhidmatan khas daripada polis negara itu.
Klip video TikTok pelancong itu mengenai pengiring polis khas ke Pattaya telah menjadi tular di media sosial.
Pelancong itu mendakwa, sejurus tiba, dia melalui pemeriksaan pantas imigresen di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok dan kemudian pergi ke hotelnya.
Perjalanan itu hanya mengambil masa selama satu jam dan pada kebiasaannya, jika tidak diiringi dengan pasukan pengiring polis, ia boleh melibatkan masa sehingga tiga jam.
Siren polis telah digunakan semasa perjalanan tersebut dan dia mendakwa ia menelan belanja tidak lebih 7,000 baht (RM919) untuk tujuan itu.
Atchayon berkata, seorang pegawai polis pelancong dan dua pegawai polis trafik yang terlibat dalam kejadian itu telah ditukarkan ke pusat operasi polis trafik. – Agensi