KUALA LUMPUR – Seramai 497 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 28 orang tekong darat telah ditahan sepanjang Op Benteng yang diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak awal Januari lalu hingga Ahad lepas di seluruh Sarawak.
ATM dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 56 pengusiran telah berjaya dilaksanakan hasil koordinasi bersepadu National Task Force (NTF) yang diketuai ATM sebagai agensi peneraju bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain.
Menurutnya, ATM sentiasa meningkatkan kesiagaan kawalan sempadan di Sarawak baik persempadanan maritim mahupun daratan.
“Aspek kesiagaan ini diberi perhatian terutama melihat kepada situasi peningkatan pandemik Covid-19 di Sabah.
“Kawalan ini juga memberi tumpuan kepada lorong tikus yang menjadi ‘hotspot’ laluan PATI untuk masuk dan keluar dari Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, Penugasan NTF di Sarawak meliputi aturgerak Komponen Maritim meliputi lapan sektor rondaan maritim melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM), Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).
“Manakala Komponen Daratan Timur melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen (JIM) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” jelas ATM.
Menurutnya, melalui kawalan persempadanan daratan Sarawak-Kalimantan, Op Benteng diperkasakan dengan operasi sedia ada antaranya Op Awas/Keris Parang, Op Kerangka, Op Suluh Kenyalang dan Op Jagakawan yang dioperasikan oleh TDM.
“Kesemuanya melibatkan kawalan persempadanan di sektor Biawak, Kandaie, Serikin, Tebedu, Balai Ringan dan Lubok Antu,” tambahnya.
Justeru, ATM menyeru masyarakat Sarawak supaya sentiasa menyalurkan sebarang maklumat berkenaan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF (011-6251 1223).
Kerjasama daripada semua pihak adalah amat dihargai dalam usaha memastikan operasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.-K!ONLINE