KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk meraih gelaran sulung musim ini tidak kesampaian apabila tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka India hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi, juara dunia itu terpaksa akur apabila tewas dalam aksi tiga set 21-14, 19-21, 18-21 kepada beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Meskipun tewas, namun Aaron-Wooi Yik menunjukkan peningkatan ketara pada kejohanan tersebut apabila mara sehingga ke perlawanan akhir jika dibandingkan dengan Terbuka Malaysia minggu lalu di mana mereka tersingkir di pusingan kedua.
Dalam perlawanan yang memakan masa lebih sejam itu, Aaron-Wooi Yik bagaimanapun bermula lebih baik apabila memenangi set pertama sebelum beregu No.11 dunia itu bangkit dalam dua set berikutnya.
Walaupun sekadar naib juara, namun gandingan No.3 dunia itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$29,750 (RM127,493) manakala Wei Keng-Wang Chang meraih AS$62,900 (RM269,557).
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik yang digandingkan sejak 2017 belum pernah merangkul sebarang kejuaraan dalam saingan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) selepas tiga kali tewas di perlawanan akhir pada Terbuka SaarLorLux 2018, Seluruh England 2019 serta Terbuka Thailand 2020.
Selepas ini, beregu negara itu akan mengalihkan fokus bagi menghadapi kejohanan Indonesia Masters yang dijadualkan berlangsung di Jakarta bermula 24 hingga 29 Januari ini. – KOSMO! ONLINE