SHAH ALAM – Semua negara Islam diseru mengecam Sweden atas perbuatan keji ahli politik sayap kanan negara tersebut membakar al-Quran semasa protes Islamofobia di hadapan kedutaan Turki di Stockholm, semalam.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya kesal dengan dasar kebebasan bersuara Sweden membenarkan untuk menghina agama yang jelasnya lebih kepada kebencian dan Islamofobia semata-mata.
“Ini adalah tindakan jenayah kebencian yang dilakukan pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan.
“Pada April tahun lalu, pengumuman Paludan tentang “pelancongan” membakar al-Quran semasa bulan suci Ramadan telah mencetuskan rusuhan di seluruh Sweden dengan kerajaan tersebut tidak mengambil langkah yang perlu untuk menghentikan kempen itu.
“Kami kesal dengan polis Sweden yang tidak mengambil tindakan apabila Paludan membakar kitab suci itu dengan pemetik api berikutan kecaman panjang hampir sejam, di mana dia menyerang Islam dan imigresen di Sweden,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan Mapim menyokong Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu yang menyuarakan kemarahan terhadap kegagalan pihak berkuasa Sweden untuk mengharamkan protes itu .
Jelasnya, adalah sungguh mengerikan bahawa Sweden sedang merebak kebencian dan ekstremisme.
“Adalah menjadi persoalan bahawa ‘jenayah kebencian jelas’ ini walaupun tidak semestinya kerajaan Sweden menyokong ungkapan itu, seperti yang dipertahankan oleh Menteri Luar Sweden Tobias Billstrom.
“Bagaimanapun hakikat bahawa kempen ini telah dibenarkan untuk diteruskan, mencerminkan toleransi Sweden di bawah alasan kebebasan bersuara,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE.