fbpx

Empat pemancing terkandas diselamatkan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keempat-empat pemancing tersebut ditemui di perairan Pulau Pangkor di Lumut tengah malam tadi.

LUMUT – Seramai empat pemancing yang terkandas di Pulau Pangkor di sini akibat kerosakan enjin bot pancing dinaiki diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak tengah malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd. Hambali Ya’kup berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkenaan perkara tersebut pada pukul 9.35 malam sebelum bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi bantuan aset terhadap bot pancing itu.

Katanya, kesemua pemancing berkenaan ditemui anggota APMM di kedudukan 1.1 batu nautika timur laut perairan pulau berkenaan.

“Keempat-empat mangsa ketika ditemui memaklumkan bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin ketika melakukan aktiviti memancing di perairan berkenaan.

“Sehubungan itu, bot pancing ditunda oleh bot peronda APMM ke jeti berdekatan bagi tujuan pembaikan. Sejurus bot pancing berkenaan berjaya dibaiki oleh anggota peronda, bot diiringi ke jeti Kampung Permatang, Manjung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Hambali berkata, keempat-empat mangsa warga tempatan berumur lingkungan 32 hingga 70 tahun itu dilaporkan selamat dan dalam keadaan stabil ketika tiba di jeti berkenaan.

“APMM mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh komuniti nelayan melalui aduan pantas yang dibuat.

“Orang ramai boleh melaporkan sebarang maklumat atau kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI