PETALING JAYA – Ingin melihat industri muzik tanah air terus maju, finalis Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37), Shiha Zikir menyambut baik sekiranya kerusi juri edisi kali ini turut diisi karyawan dari luar negara.
Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd. Zikir berpandangan, perkara tersebut mampu memberi suntikan baharu buat acara berprestij yang diberi jolokan sebagai ‘Grammy Malaysia’.
“Saya tidak mempunyai masalah jika itu dilakukan. Mungkin 36 edisi terdahulu, orang tengok begitu sahaja.
“Bukan soal juri sahaja, kalau kita ambil seseorang daripada luar masuk, cuba dengar dan tengok macam mana. Mungkin akan jadi suntikan baharu yang kita mungkin terlepas pandang selama ini.
“Macam lagu Aewo, lolos ke AJL36 tapi tak menang. Orang banyak cakap lagu itu biasa sahaja.
“Di peringkat antarabangsa, ramai pula yang puji sampai menang trofi Pop Asia Terbaik pada InterContinental Music Awards (ICMA) 2021 di Amerika Syarikat,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bagaimanapun, Shiha, 36, juga tidak menafikan Malaysia sebuah industri kecil yang perlukan banyak anjakan jika ingin bersaing atau berada seiring dengan negara luar.
“Mereka peringkat dunia. Mereka mampu buat banyak benda. Kita (Malaysia) kecil.
“Bagi saya, tidak mengapalah. Kalau melibatkan orang (juri) luar, lagi bagus,” ujarnya.
Shiha yang mempertaruhkan lagu berjudul Irama pada AJL37 kali ini akan bersaing dengan nama-nama besar, seperti Ernie Zakri (Korban), Aina Abdul (Terus Hidup), Naim Daniel (Mainan), Joe Flizzow (Satu Malam Di Temasik dan Khai Bahar (Sengsara).
Turut bersaing, Alif Satar & The Locos, Dayang Nurfaizah & Amir Masdi (Debu), Shila Amzah & Liza Hanim (Bahagiakan Dia), Marsha Milan (Kembali Terang), Iman Troye (Nang) dan Noki & MK (Payung Pelangi)
AJL37 diacarakan Sherry Alhadad dan Jihan Muse akan bersiaran secara langsung dari Axiara Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari 2023 pukul 9 malam menerusi TV3. – KOSMO! ONLINE