RANTAU PANJANG – Seorang kanak-kanak lelaki maut apabila kereta yang dipandu bapanya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Lubok Stol di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Hud Afkar Mohd. Khairi, 6, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dekat sini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Myvi dipandu bapa kanak-kanak itu bersama ibu dan adiknya berusia empat tahun sedang dalam perjalanan dari arah Lalang Pepuyu menghala ke Rantau Panjang.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan akibat permukaan jalan licin semasa hujan sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok.
“Kanak-kanak itu dibawa ke HUSM, Kubang Kerian sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.19 malam.
“Ibu bapa mangsa yang masing-masing berusia 32 tahun patah kaki dan luka ringan manakala adiknya lelakinya turut patah kaki kiri. Kesemua mangsa yang selamat dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Nasaruddin, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE