fbpx

Masyarakat Tionghoa hidupkan suasana di Tokong Mek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masyarakat Tionghoa berkunjung ke Tokong Swee Nyet Keung atau Tokong Mek di Kampung Pulai, Gua Musang untuk berdoa sempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini. - Foto AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Tokong Swee Nyet Keung yang dipercayai berusia lebih 600 tahun di Kampung Pulai di sini tetap menjadi lokasi tumpuan orang ramai meskipun cuaca hujan sempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini.

Tokong yang dikenali sebagai Tokong Mek itu meriah dengan kehadiran masyarakat Tionghoa yang datang untuk upacara agama dan bergambar kenangan.

Sebelum ini, tokong tersebut ditutup selama dua tahun daripada sebarang aktiviti keagamaan untuk mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

Seorang pengunjung, Leong Mee Yee, 45, berkata, sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini lebih meriah selepas dua tahun perayaan itu disambut secara sederhana susulan pandemik Covid-19.

Katanya, dia yang bekerja di Singapura sudah dua tahun tidak dapat balik ke kampung halaman untuk beraya bersama keluarga.

“Saya tiba semalam selepas menempuh kesesakan lalu lintas terutamanya di Bentong, Pahang.

“Cuaca hujan di daerah ini hujan sejak semalam, namun saya tidak melepaskan peluang berkunjung ke Tokong Mek untuk berdoa bersama ahli keluarga lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Seorang lagi pengunjung, A. Shohael, 30, berkata, selepas dua tahun, ini merupakan kali pertama dia bersama isterinya yang berketurunan Tionghoa merayakan Tahun Baharu Cina bersama keluarga mentuanya di sini.

Katanya, mereka berkunjung ke Tokong Mek yang merupakan tarikan pelancongan di daerah ini sebelum melakukan aktiviti ziarah keluarga dan teman rapat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI