KUALA LUMPUR – Pengkhususan terhadap industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antara hala tuju utama di dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan 24 Februari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keunikan industri itu yang menjadi majoriti di dalam bidang perusahaan perlu diberi penumpuan.
Katanya, banyak peniaga mengalami kerugian besar serta ‘gulung tikar’ sepanjang dua tahun Malaysia menghadapi pandemik Covid-19.
“Malaysia ini unik, kekuatan ekonomi terbesar (mewakili) konglomerat adalah kecil, (manakala) PKS besar.
“Dalam belanjawan 24 Februari ini, saya akan beri keutamaan supaya PKS akan ditingkatkan kerana sudah dua tahun Covid-19 dan menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan terpanjang di dunia.
“Tumpuan di dalam belanjawan melibatkan sudut teknologi, perkhidmatan dan industri agro. Saya harap akan diberi sokongan (dalam usaha ini),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini. – KOSMO! ONLINE.