JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga asing yang digelar sebagai ‘doktor’ ditahan ketika sedang berhibur di dalam sebuah pusat hiburan di Batu Pahat dekat sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 32 tahun antara tiga tokan yang diberkas disyaki menjalankan bisnes jual dadah ke pusat-pusat hiburan di sekitar Kluang dan Batu Pahat.
Menurutnya, lelaki itu dipanggil ‘doktor’ dalam kalangan penagih apabila dia dapat membekalkan dadah sekali gus dapat ‘menyelesaikan’ masalah yang dihadapi kepada pelanggan pusat hiburan.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah menjalankan operasi khas di tiga buah pusat hiburan di Kluang dan Batu Pahat, bermula pukul 1 hingga 3 pagi semalam.
“Dalam serbuan yang dijalankan di tiga buah premis hiburan yang beroperasi melebihi had waktu itu, seramai 246 individu diperiksa dan 78 yang berusia 16 hingga 68 tahun ditahan adalah atas pelbagai kesalahan termasuk dadah dan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, hasil saringan ujian air kencing dibuat mendapati seramai 68 suspek positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan THC. Mereka terdiri daripada 49 lelaki dan 19 wanita.
Tambah beliau, susulan serbuan berkenaan, pihaknya turut merampas pelbagai dadah bernilai RM261,797 yang boleh digunakan seramai 15,206 penagih sekiranya dadah berkenaan berada di pasaran.
Antara dadah tersebut adalah 3.43 kilogram serbuk ekstasi, 1,368 biji pil ekstasi, 417.08 gram ketamin dan 300 biji pil Eramin 5.
“Turut dirampas sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM31,218. Nilai keseluruhan rampasan melibatkan dadah dan barangan adalah RM408,015,” ujarnya.
Tambah Kamarul Zaman, kesemua suspek kini direman antara satu hingga enam hari untuk membantu siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(2) dan Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor 4/98.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut memaklumkan sejak 1 hingga 20 Januari lalu, pihaknya telah menahan seramai 1,078 suspek atas pelbagai kesalahan dadah serta membuat rampasan dadah seberat 602.66 kilogram. – KOSMO! ONLINE