DEMI memburu slot untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024, penerjun berpengalaman negara, Wendy Ng Yan Yee bersedia untuk melakukan terbaik bagi merealisasikan impian tersebut.
Penerjun berusia 29 tahun itu yang menyambut Tahun Baharu Cina secara sederhana itu meletakkan azam cukup tinggi apabila ingin memburu slot buat kali keempat ke temasya Sukan Olimpik selepas melakukan tiga penampilan sejak edisi di London pada 2012.
Justeru, Wendy berharap tahun 2023 memberi tuah kepadanya selain mengharapkan dia bebas kecederaan kerana perlu menghadapi kejohanan besar termasuk temasya Sukan Asia di Hangzhou, China yang berlangsung pada September ini nanti.
“Sebenarnya saya tiada perancangan untuk pulang ke kampung iaitu Ipoh, Perak kerana saya hanya ada satu hari cuti. Tahun ini juga jadual agak padat terutama persiapan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan juga Sukan Asia.
“Jadi, jurulatih tidak dapat bagi cuti panjang dan saya perlu menjalani latihan kerana selepas ini banyak lagi kejohanan yang saya akan tempuhi.
“Oleh itu, saya akan menjalani latihan seperti biasa, jadi saya hanya sambut Tahun Baharu Cina secara sederhana. Tetapi tidak mengapa kerana kita ada banyak lagi cuti seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas pun ada.
“Pada tahun ini saya meletakkan sasaran peribadi agar bebas dari sebarang kecederaan agar saya mampu menamatkan kejohanan dengan keputusan terbaik. Pada tahun ini saya akan hadapi Kejohanan Dunia pada bulan Julai, jadi saya perlu melakukan persiapan rapi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil semalam.
Ketika ditanya mengenai perasaan bergelar Olympian, Wendy mengakui ia bukan satu tugas mudah kerana dia menempuhi pelbagai ranjau dan kisah pahit terutama bertarung dengan kecederaan belakang selain pernah menjalani pembedahan bahu.
“Bagi saya ia bukan satu tugas mudah, namun saya menghargai peluang tersebut selepas melakukan pengorbanan cukup besar dalam kariernya meskipun tidak dapat menyumbang pingat di temasya empat tahun sekali itu.
“Untuk melangkah ke Sukan Olimpik adalah impian semua atlet dapat menjejak kaki di pentas tersebut. Menjadi Olympian tidak semudah anda lihat dan dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik adalah pencapaian terbaik.
“Saya ingin katakan, kamu perlu berbangga menjadi Olympian dan jangan kecewa kerana anda bukan salah seorang pemenang pingat,” tambahnya.