KUALA LUMPUR – Prihatin dengan nasib orang Sabah yang kini sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, pelakon Aeril Zafrel ingin menghulurkan bantuan kewangan melalui sosial medianya.
Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari, 31, melalui Instagram berkata, sesiapa yang memerlukan bantuan, sila hantar direct message (DM) kepadanya.
“Orang Sabah yang terkesan dengan Covid, zon merah terutamanya. Yang perlukan bantuan, sila DM sekarang.
“Siap-siap bagi nombor akaun ya,” tulis suami kepada pelakon Wawa Zainal itu.
Ketika dihubungi Kosmo! Online, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu bersyukur kerana Allah mengizinkan dirinya memberikan bantuan kepada yang memerlukan.
“Alhamdulillah, ramai yang Allah izinkan saya bantu. Saya harap dapat meringankan apa yang termampu.
“Sekarang tengah sibuk penggambaran drama Tercipta Satu Ikatan. Ambil masa sedikit namun saya akan baca satu persatu DM,” katanya.
Muat naik status pelakon filem Aku Tak Bodoh itu mendapat kata-kata sokongan daripada rakan artis seperti pengacara, Nadia Annuar dan penyanyi Faizal Tahir.
“Alhamdulillah, bagus Aeril dan Wawa. Semoga Allah murahkan rezeki kalian sekeluarga. Bangga jadi orang Malaysia,” tulis Nadia melalui ruangan komen.
Sementara itu, Faizal meninggalkan komen berbunyi: “Allah bless you and the family (berkati anda sekeluarga).” – K! ONLINE