fbpx

Dron PDRM pantau 2.23 juta kenderaan balik kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMANTAUAN keadaan lalu lintas JSPT bersama Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara, PDRM di Lebuh Raya Utara-Selatan, KM 367.3 Slim River, Perak semalam.

PETALING JAYA – Unit Dron Pasukan Gerakan Udara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) digunakan bagi memantau pergerakan sebahagian daripada 2.23 juta kenderaan sempena cuti panjang Tahun Baharu Cina semalam.

Pasukan itu diatur gerak bersama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam mengawasi keadaan lalu lintas di lokasi-lokasi hot spot sepanjang Op Selamat ke-19.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, Pasukan Dron PDRM telah tempatkan di sektor Utara, Timur dan Selatan.

“PDRM sentiasa komited dalam memastikan kelancaran lalu lintas untuk keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Pergerakan mula sesak apabila orang ramai telah bergerak pulang ke Pantai Timur, Utara dan Selatan dan kita jangkakan sebanyak 170,000 kenderaan di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak, 60,000 di Lebuh Raya Pantai Timur 1, manakala 2 juta kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan berada di lebuh raya bermula hari ini (semalam),” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu, penggunaan Unit Dron juga akan memudahkan segala input disampai dengan pantas kepada petugas JSPT di lapangan agar segala tindakan diambil dengan segera.

Dalam pada itu, PDRM me­nyarankan pengguna jalan raya yang penat dan perlu berehat, berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya termasuklah bagi menunaikan solat atau ke tandas.

Ujarnya, kerjasama semua pengguna jalan raya dalam mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas akan memastikan tiada tragedi berlaku di musim perayaan ini.

Sejak awal pagi semalam, ­aliran trafik di beberapa lebuh raya utama perlahan susulan pertambahan kenderaan di jalan raya berikutan cuti panjang sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kerajaan mengambil inisiatif mengurangkan beban rakyat untuk pulang ke kampung halaman sempena sambutan Tahun Baharu Cina dengan menawarkan tol percuma pada 20 dan 21 Januari.

Perkara itu diputuskan selepas Menteri Pengangkutan dan Menteri Kerja Raya mengambil inisiatif berbincang dengan syarikat konsesi lebuh raya terlibat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI