fbpx

Ramai hero baharu, Shahz Jaszle rasa tercabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHZ JASZLE

MULA bertapak dalam industri seni hiburan sebagai pelakon sejak 17 tahun lalu, nama aktor Shahz Jaszle sehingga kini masih kekal relevan dan menjadi pilihan produser untuk menghiasi kaca televisyen.

Meniti usia 35 tahun, pelakon dengan nama lengkap Shahrizal Jaszle Jasmin itu masih bersemangat mengorak langkah meneruskan perjuangan dalam bidang lakonan walaupun dikelilingi pesaing daripada muka-muka baharu.

Jelas Shahz, dia mengakui kehadiran pelakon yang lebih muda sedikit sebanyak memberi cabaran buat dirinya untuk terus kekal berada di posisi ‘selamat’ bagi meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan.

Bapa kepada dua orang anak itu mengakui berasa sedikit tercabar dengan kehadiran ramai pelakon baharu bersama pakej lengkap.

BIARPUN bersaing dengan wajah baharu, Shahz bersyukur bakatnya masih ditagih penerbit. 

“Tercabar dengan generasi baharu? Sudah tentu ada. Lebih-lebih lagi usia saya yang semakin meningkat.

“Mahu kekalkan fizikal saya perlu usaha keras sebab sudah tentu mereka (produksi) akan ambil pelakon yang lebih muda. Tapi saya faham tentang perkara itu,” ujarnya yang mengakui perlu menjaga bentuk fizikal seperti mengawal berat badan untuk kelihatan menarik di hadapan kamera.

Pun begitu, dia tetap bersyukur kerana masih lagi diberi peluang oleh produksi dan pengarah untuk memegang watak utama terutama dalam drama.

Pada masa sama, Shahz mengakui perkembangan arus teknologi menerusi trend media sosial juga banyak memainkan peranan untuk dia kekal relevan.

Kata pelakon drama Takdir Cinta Dhia itu, kini masyarakat termasuk golongan selebriti beralih kepada TikTok berbanding Instagram.

Justeru dia juga perlu mengikuti perkembangan tersebut mengikut kehendak semasa walaupun mengakui dirinya ‘buta IT’.

SHAHZ akur untuk mengikut trend media sosial walaupun mengakui dirinya ‘buta IT’. Foto – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

“Untuk saya, memang agak susah untuk mengikuti perkembangan terkini seperti menggunakan TikTok bagi tujuan publisiti dan promosi. Ramai yang kata TikTok sekarang sangat penting berbanding media sosial lain.

“Untuk tujuan pemasaran pada hari ini, ramai yang memilih ‘TikTokers’ berbanding artis kerana mereka lebih memberi impak.

“Saya bukannya pandang nak buat video yang boleh menarik perhatian pengguna. Saya ada akaun TikTok sebelum ini, tapi dua kali disekat. Tapi mahu atau tidak, saya kena aktif semula untuk perniagaan minyak wangi yang diusahakan,” ujar Shahz.

Seiring dengan peningkatan usia, Shahz juga semakin matang berbanding ketika zaman bujangnya yang sering dilanda pelbagai kontroversi. Alasannya, kerana dia mahu masa depan yang baik untuk dua orang anaknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI