LONDON – Pengendali Manchester United, Erik Ten Hag mengakui kehilangan Casemiro tidak akan mengurangkan keyakinan dan kualiti dimiliki pasukannya yang bersedia untuk turun mendapatkan kemenangan ke atas Arsenal awal pagi esok.
Sejak mula menyertai The Red Devils, bintang dari Brazil itu berjaya memainkan peranan besar menambah kekuatan pasukan itu di bahagian pertahanan dan serangan, namun tidak dapat diturunkan selepas berdepan penggantungan satu perlawanan.
Sekalipun sedar kehilangan Casemiro sedikit merencatkan perancangannya, Ten Hag menegaskan beliau masih memiliki strategi terbaik untuk cuba meraih kemenangan kedua ke atas Arsenal selepas melakukannya di Old Trafford September lalu.
“Kami tewaskan Arsenal dalam aksi terakhir sebelum ini tanpa Casemiro. Mereka berada pada prestasi terbaik dan berhak berada di kedudukan teratas liga, namun kami memiliki idea bagaimana untuk mengawal situasi ini.
“Sekarang semuanya bergantung kepada kami untuk menyekat mereka dan kami pastinya akan lakukan apa saja untuk merealisasikan tugasan ini. Mereka agak bagus dan sudah pasti kami juga perlu berada dalam keadaan terbaik.
“Kami perlu tunjukkan permainan lebih berkualiti. Jika kami mampu melakukannya, saya fikir kami ada peluang cerah untuk tewaskan mereka,” katanya.
Kekalahan kepada United menyaksikan Arsenal hanya berdepan satu-satunya kekalahan setakat musim ini dan kini sedang berada pada prestasi terbaik apabila kekal tanpa tewas dalam 12 perlawanan.
– AGENSI