PETALING JAYA – Polis akan mengambil keterangan anak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Ilham, yang dikatakan menjadi mangsa buli kepada pemandu Proton Iriz setelah rakaman video kejadian itu tular sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang kemalangan mahupun kecederaan yang di alami oleh kedua-dua belah pihak dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Semalam tular satu rakaman video berdurasi 14 saat di laman sosial Twitter milik Nurul Ilham Anwar memaparkan sebuah kereta jenis Proton Iriz dipandu di lorong sebelah kanan di KM 207 Lebuhraya Utara Selatan.
“Kereta Proton Iriz itu dipandu dengan agak perlahan dan dikatakan menekan brek beberapa kali di lorong tersebut sehingga membuat Nurul Ilham Anwar berasa bahaya dengan cara pemanduan pemilik kenderaan tersebut.
“Sehubungan itu, kedua-dua pemandu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (2) LN 166/1959 kerana kesalahan memotong dan menghalang daripada memotong.
Dalam pada itu, Anbalagan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil ke Balai Polis Trafik IPD Serdang bagi membantu siasatan.
“Orang ramai juga dinasihati untuk sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ketika memandu kenderaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE